Sunday, July 19, 2009

3-2... iS iT eNouGH?





Jika dinilai aksi skuad bolasepak negara pada perlawanan menentang pasukan sehebat Manchester United dengan reputasi sebagai juara Inggeris, juara Eropah dan juara dunia, kita masih boleh berbangga. Kekalahan memang sudah dijangka, namun keupayaan pemain-pemain Malaysia untuk membolosi gawang United terutamanya sebanyak 2 kali adalah dan tewas dengan jurang yang amat sedikit adalah sesuatu yang di luar dugaan. Itupun kalau tidak kerana beberapa kesilapan, kita sebenarnya mampu untuk mengikat United dengan keputusan seri.


Gol awal daripada penyerang berbisa United, Wayne Rooney seawal minit ke-7 mungkin membayangkan skuad kebangsaan kita akan diratah semahunya sepertimana yang dilakukan oleh mereka pada tahun 2001 dengan membenam skuad negara 6-0. Pasukan Malaysia terus ketinggalan pada minit ke-28 apabila Nani mudah menyambar bola hantaran lintang Rooney yang bijak mencari ruang di celah-celah pemain pertahanan Malaysia. Ketangkasan penjaga gol Malaysia, Mohd Farizal Marlias menyelamatkan beberapa percubaan tepat daripada para penyerang United selepas itu juga harus diberi pujian.

Ketinggalan dua gol langsung tidak mematahkan semangat pasukan Malaysia yang kembali memperkemaskan rentak permainan untuk mencari gol penyamaan diketuai Amri Yahyah dan Zaquan Adha di bahagian serangan. Nyata usaha mereka membuahkan hasil apabila Amri bijak menghidu peluang apabila penjaga gol United, Edwin van der Sar sudah pun keluar dari posisinya. Kapten pasukan Selangor itu melambungkan bola melepasi jangkauan van der Sar yang hanya mampu melihat bola lambungan Amri menerjah pintu golnya.


Bermula separuh masa kedua, pengurus United, Sir Alex Ferguson memasukkan penjaga gol simpanan, Ben Foster menggantikan van der Sar. Dan pada minit ke-52, hantaran ke belakang oleh Darren Gibson gagal ditampan kemas oleh Foster dan menyaksikan Amri meluru pantas untuk merampas bola tersebut dan mudah menolak masuk gol penyamaan pasukan Malaysia. Gol tersebut nyata memberi semangat baru kepada pasukan Malaysia untuk terus memburu gol kemenangan dengan melancarkan beberapa serangan namun berjaya dipatahkan pertahanan United dengan mudah.

Aksi permainan selepas itu dilihat seimbang dengan kedua-dua pasukan berbalas serangan sehinggalah pada minit ke-85, pemain yang baru diikat United, Michael Owen yang juga bekas penyerang skuad kebangsaan England menjaringkan gol kemenangan mereka. Gol yang berpunca daripada hantaran Gibson untuk Ryan Giggs yang cuba melakukan percubaan namum berjaya dihalang Farizal namun Owen berada di posisi tepat untuk menyudahkan bola muntah tersebut.


Walaupun tewas, namun aksi keseluruhan pasukan Malaysia haruslah diberi pujian. Ironinya, pembatalan lawatan pasukan Manchester United ke Indonesia esok berikutan kejadian letupan bom di Jakarta memberikan satu lagi peluang kepada anak buah K. Rajagopal untuk beraksi sekali lagi menentang Manchester United dan diharapkan mereka dapat memberikan satu lagi persembahan yang memikat untuk kembali memberi keyakinan kepada peminat-peminat bolasepak tempatan untuk terus menyokong skuad kebangsaan. Kita nantikan aksi mereka esok!


-aRJuNa-

No comments: