Ego. 3 huruf yg cukup sinonim dalam diri manusia terutamanya lelaki. Perempuan juga punya ego yang tersendiri tetapi mereka cukup kuat untuk mengawal perasaan ego dari menguasai diri. Ego mampu menukar manusia yang lemah lembut menjadi panas baran, ego bisa menjadikan manusia lupa akan asal usul diri sendiri, ego boleh menyebabkan seseorang hilang dirinya yang sebenar dan ego juga selama ini sudah menjadi duri dalam daging kepada sesiapa yang pernah merasai kesan daripada sikap ego ini.
Kalau ego ini lebih banyak membawa keburukan, tapi mengapa perasaan itu dicipta Yang Maha Kaya dalam diri setiap insan? Sudah pasti setiap perkara di dunia ada kelebihan dan kekurangan. Atas dasar itu jugalah dunia dikatakan ujian untuk setiap manusia untuk bijak memilih samada untuk menggunakan apa yang diberi ke jalan yang baik mahupun ke jalan yang membawa binasa. Jika mampu mengawal perasaan ego untuk kebaikan, maka baiklah hasilnya begitu juga sebaliknya.
Setiap manusia perlu ada ego kerana ego juga melambangkan maruah. Namun haruslah diletakkan pada tempat yang tepat agar perasaan ini tidak membawa manusia ke lembah kebinasaan. Ego haruslah ditundukkan supaya keamanan dan kebahagiaan seseorang dapat dipelihara kerana akibat ego yang melampau boleh menjadikan manusia hilang kasih sayang sesama manusia, lebih buruk jika ia membabitkan keluarga ataupun teman hidup.
Setiap manusia ada kekurangan dan tak pernah terlepas dari melakukan kesalahan. Untuk yang bersalah, jangan terlalu ego untuk mengaku kesalahan dan meminta maaf dengan hati yang tulus ikhlas diikuti dengan perasaan menyesal yang cukup tebal untuk tidak mengulangi kesalahan yang sama di masa akan datang. Dan bagi mereka yang tidak bersalah, jangan juga terlalu ego untuk memaafkan kerana orang yang pemaaf itu sangat mulia di sisi penciptanya dalam masa yang sama harus juga mengigatkan yang bersalah akan kesalahannya.
Ego mempunyai pro dan kontranya yang tersendiri. Seseorang manusia haruslah bijak mengawal emosi agar ego tidak menguasai akal dalam melakukan tindakan mahupun keputusan. Hiduplah manusia dalam keadaan yang harmoni dan bahagia andai ego juga nafsu mampu dijinakkan. Tidak dapat menidakkan bahawa lelaki mempunyai ego yang lebih angkuh dari perempuan namun hendaklah digunakan 9 akal yang diberi dalam fitrah seorang lelaki untuk menundukkan ego dari menguasai diri.